Petua Untuk Berfikiran Positif
Apabila kita berinteraksi dengan sesiapa sahaja, hendaklah kita meletakkan diri kita di tempatnya. Contohnya:
1.Apabila berinterkasi dengan ibubapa kita, letakkanlah diri kita di tempat mereka. Nescaya kita menghendaki agar anak-anak kita berinteraksi dengan cara yang terbaik kepada kita. Maka dengan itu juga, apabila berinteraksi dengan ibubapa kita, pilihlah cara yang terbaik.
2.Apabila melihat orang lain melakukan sesuatu kesalahan, letakkanlah diri kita ditempatnya. Nescaya kita akan menghargai apabila ada orang yang sudi memaafkan kita serta memberi nasihat dan teguran. Ini kerana tidak ada manusia yang terlepas daripada melakukan kesalahan. Maka dengan itu maafkanlah kesalahan orang lain dan berusahalah mencari ruang menasihati dan menegurnya
.
3.Apabila ingin membetulkan kesalahan orang lain, letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita mengingini agar orang yang membetulkan kita melakukannya dengan cara yang tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Maka dengan itu juga, betulkanlah kesalahan orang lain, sama ada yang melakukan maksiat atau bid‘ah, secara tersembunyi, lemah lembut dan hikmah. Jangan menghebohkannya, bersikap keras dan kaku.
4.Apabila saudara kita memiliki sesuatu kelebihan seperti ilmu, kedudukan, kemasyhuran atau harta, maka letakkanlah diri kita di tempatnya. Nescaya kita bergembira dan bersyukur atas kelebihan-kelebihan tersebut. Maka dengan itu juga, hendaklah kita turut bergembira dan bersyukur apabila di kalangan saudara kita ada yang diberi atau memiliki sesuatu kelebihan.
5.Apabila seorang Muslim yang lainnya mencaci dan menghina kita dengan perkataan yang kurang menyenangkan, beredarlah daripada situ dan tinggalkan majlis atau perbincangan tersebut. Jangan pula kita juga mengherdik sama. Maka samalah kita dengan dia. Tiada bezanya. Kalau boleh kita beri sedikit nasihat. Dengar ataupun tidak terpulang padanya. Lambat laun pasti dia akan berubah. Memang sukar untuk melakukan demikian tetapi sekiranya kita ingin mengikuti akhlak Rasulullah, itu sahaja jalannya.
Disebut dalam Riwayat Hadith Shahih mengenai akhlak yang mulia merupakan ibadah yang paling memberatkan timbangan amal:
"Tiada sesuatu yang lebih memberatkan timbangan (pada Hari Akhirat) berbanding akhlak yang baik."(Riwayat Abu Dawud:Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4799 (Kitab al-Adab, Bab berkenaan akhlak yang baik). Malah disebut orang yang berakhlak mulia adalah orang yang sangat dikasihi Nabi Muhammad SAW
Sumber: http://www.facebook.com/layarMinda
No comments:
Post a Comment