Sesungguhnya ramai para pendakwah merasa berputus asa atau hilang pengharapan ketika dia menyampaikan seruan dakwah kepada para mad’unya, menggunakan hujah dan bukti yang nyata, namun para mad’unya tidak responsif terhadap seruan dakwah tersebut.
Ini berpunca dari sikap para Pendakwah yang tidak memahami atau mengambil kira keutamaan faktor masa sebagai faktor penting di dalam menjayakan amal dakwah.
Al-Marhum Imam As-Shahid Hasan al-Bana telah mengungkapkan satu kaedah “الْوَقْتُ جُزْءٌمِنَ الْعِلَاجِ” [masa adalah sebahagian dari perawatan]. Imam As-Shahid Hasan al-Bana mengingatkan para pendakwah agar meletakkan unsur masa sebahagian dari langkah-langkah membaiki umat ini.
Kata-kata : ‘لكل مرحلة رجالها ولكل مرحلة مشاكلها’ (setiap marhalah dakwah ada rijalnya dan setiap marhalah dakwah itu ada permasalahannya). Justeru para pendakwah dalam memikul tanggungjawab dakwah (مسؤولية الدعوة)perlu lihat kepada faktor masa, faktor kemampuan & keupayaan mempersiapkan rijal serta masalah-masalah di dalam perjalanan dakwah itu. Maka menyelesaikan segala keperluan fasa itu harus diambil kira faktor masa.
Kaedah fiqh menyebut : ‘مَنِ اسْتَعْجَلَ شيئا قَبْلَ أَوَانِه عُقِبَ بِحِرْمَانِهِ’ (Barangsiapa yang memetik hasil sebelum tiba masanya maka dia terhalang untuk mendapatkannya..). Ini menunjukkan bahawa di dalam dakwah perlu dituai hasil-hasil dakwah itu secara matang apabila sampai masanya dan cukup prasyaratnya.
Seerah (سيرة) menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW mengambil kira faktor masa di dalam menjayakan agenda dakwahnya. Perpindahan marhalah dari ‘سِرِّيّة’ (kerahsiaan) kepada جَهْرِيِّة (terbuka), dari ‘جهرية’ ke fasa ‘إقامة الدين’ adalah berasaskan faktor masa.
Dalam skop yang lebih mikro terutama melaksanakan usaha tajmik dan dakwah kepada manusia, para pendakwah hendaklah memahami bahawa masa (timeline) adalah salah satu dari pra-syarat keberhasilan dakwah.
Ini kerana realiti yang melingkungi kehidupan audien adalah realiti yang bukan Islam (unislamic) atau biasa disebut sebagai realiti jahiliyah. Realiti ini telah mempengaruhi kehidupan kumpulan sasaran samada dari aspek tingkahlaku atau pemikiran.
Ini mewujudkan jurang pemisah antara kehidupan yang dilalui oleh Sang Pendakwah dengan kehidupan kumpulan sasaran (المدعو). Pendakwah membawa nilai-nilai islamik sedangkan audien pula membawa nilai-nilai yang tidak islamik dan bertentangan dengan aliran para pendakwah.
Lantaran itu, mengharapkan dakwah diterima dengan cepat dan segera adalah suatu yang mustahil dan ia bertentangan dengan sunnah dakwah.
facebook ustaz kamaruddin kassim
No comments:
Post a Comment